Akhbar Sinar Harian
Batu Bersurat di Ajil Terengganu dalam tulisan jawi
Tulisan Jawi (توليسن جاوي), juga dipanggil Yawi di Pattani.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tulisan Jawi bermaksud
tulisan yang menggunakan huruf Jawi. Manakala huruf Jawi bermaksud huruf
Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam bahasa
Melayu.
Tulisan Jawi merupakan salah satu
daripada dua sistem tulisan rasmi di Brunei, dan juga
dijadikan sistem tulisan alternatif di Malaysia.
Dari segi penggunaannya, tulisan Jawi dahulunya merupakan abjad piawai bahasa
Melayu tetapi sudah diganti oleh abjad Rumi,
maka penulisan Jawi hanya terhad kepada kegunaan keagamaan dan kebudayaan.
Penulisan Jawi seharian dipelihara di kawasan-kawasan yang diduduki masyarakat
Melayu yang lebih konservatif, misalnya Sulu di Filipina, Pattani di Thailand, Kelantan di
Malaysia dan beberapa kawasan petempatan Melayu di Indonesia.
Sejarah awal سجاره اول
Bukti bertulis mengenai
Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu
bertulisan Jawi.
Tulisan Jawi telah wujud sejak
sekitar tahun 1300 M di Kepulauan Melayu. Perkembangannya berhubung kait dengan
ketibaan Islam, khususnya daripada orang Parsi. Abjad Arab yang diperkenalkan
ini diubah suai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik lisan. Tulisan Jawi
ditulis dari kanan ke kiri, dan ditokok dengan 6 huruf yang tiada dalam bahasa
Arab, iaitu ca pa, ga nga va dan nya.
Tulisan Jawi berpunca daripada
kesusasteraan Arab yang diperkenalkan oleh orang Parsi kepada Kerajaan Melayu
Jambi yang terletak di utara Palembang, Sumatera, Indonesia, dan bertutur dalam
bahasa Melayu klasik. Barangkalinya, mereka yang memeluk agama Islam memilih
untuk menulis dalam abjad Jawi kerana ia berhubungkait rapat dengan kebudayaan
Islam, daripada menggunakan tulisan Jawa yang diterbitkan daripada
sistem-sistem tulisan yang digunakan di kawasan-kawasan beragama Hindu atau
Buddha di Asia Selatan. Nama "Jawi" membayangkan akar umbinya di
Jawa, bak hujah sesetengah ilmuwan. Bagaimanapun, oleh sebab tidak banyak
ditemui meskipun memang pernah digunakan di Jawa, kemungkinan besar perkataan Jawi
ini merupakan gelaran am bagi kawasan di bawah penguasaan atau pengaruh Jawa.
Selain itu, nama Jawi itu mungkin berpunca daripada kerajaan Javaka kuno yang
merupakan pendahulu kerajaan-kerajaan Majapahit dan Srivijaya yang pernah
menjalin hubungan dengan saudagar dan mubaligh Arab.
Tinggalan tulisan Jawi purba yang
terawal ditemui pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 M (702 H) dan
juga Syair Bidasari tulisan sekitar 1300–1399 M yang ditemui di
Sumatera,sementara penggunaan terawal abjad Rumi untuk bahasa Melayu datang
dari akhir abad ke-19.
Kawasan Terengganu berada dalam
lingkungan pengaruh Srivijaya selewat abad ke-13, sementara Kesultanan
Terengganu hanya diasaskan seawal abad ke-18. Ini menguatkan hujah bahawa
tulisan Jawi berasal dari Jambi oleh kerajaan abdi Pasai di bawah Srivijaya.
Penyebaran dan perkembangan
tulisan Jawi ڤڽيبرن دان ڤركمبڠن توليسن جاوي
Tulisan Jawi berkembang pesat
sejajar dengan penyebaran Islam, setelah bangsa Melayu mendapati bahawa tulisan
Pallava yang digunakan mereka selama ini tidak sesuai sekali sebagai wahana
penyebaran perihal agama baru ini. Orang Melayu memandang tinggi tulisan Jawi
sebagai gerbang kepada pemahaman Islam dan kitab sucinya, al-Qur'an. Penggunaan
tulisan Jawi merupakan faktor utama yang memangkin kebangkitan bahasa Melayu
sebagai serantau di samping penyebaran agama Islam. Tulisan Jawi digunakan
secara meluas di negeri-negeri kesultanan Melaka, Johor, Brunei, Sulu, Patani,
Ache dan Ternate seawal abad ke-15, untuk tujuan surat-menyurat diraja, titah-perintah,
puisi dan juga kaedah perhubungan utama sesama saudagar di pelabuhan Melaka.
Ikhtisar-ikhtisar perundangan purbakala seperti Hukum Kanun Melaka dan
bahan-bahan terbitannya, termasuk Hukum-Hukum Kanun Johor, Kedah dan Brunei
semuanya ditulis dalam Jawi. Bahasa Melayu dalam tulisan Jawi merupakan bahasa
perantaraan seluruh lapisan masyarakat, baik para raja, bangsawan, ilmuwan
agama mahupun orang keramaian, di samping menjadi lambang tradisi kebudayaan
dan tamadun Melayu. Proses pengislaman rantau Melayu telah melariskan abjad
Jawi sebagai sistem tulisan yang paling berkuasa.
Sebagai contoh, surat-surat
diraja ditulis, dihiasi dan disampaikan dengan penuh istiadat. Contoh-contoh
surat diraja yang masih terpelihara ialah surat antara Sultan Abu Hayat dari
Ternate dan Raja João III dari Portugal (1521); surat daripada Sultan Iskandar
Muda dari Aceh kepada Raja James I dari England (1615); dan surat daripada
Sultan Abdul Jalil IV dari Johor kepada Raja Louis XV dari Perancis (1719).
Kebanyakan karya sastera baik hikayat, puisi mahupun prosa bertulisan Jawi. Ia
merupakan kemuncak tamadun Melayu klasik. Antara karya-karya epik bersejarah
yang dikarang oleh orang Melayu dalam tulisan Jawi termasuk Sulalatus Salatin
(Sejarah Melayu) yang tersenarai dalam Kenangan Dunia oleh UNESCO, dan
puisi-puisi Sufi karya Hamzah Fansuri antara lainnya yang menyumbang kepada
kekayaan dan kedalaman tamadun Melayu.
Sewaktu zaman penjajahan, tulisan
Jawi masih menguasai Kepulauan Melayu, terutamanya dalam bidang sastera dan
kesenian, teologi, falsafah dan mistik Islam, perdagangan, dan juga perundangan
negeri. Tulisan Jawi merupakan abjad rasmi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu
sewaktu zaman naungan British. Apatah lagi, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi
negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.
Bagaimanapun, salah satu
kelemahan utama amalan penulisan Jawi ialah ketidakseragaman sesama pengguna
dari segi ejaan, yang mana menurut Pendeta Za'ba, "kebiasaan
penulis-penulis yang ramai ... ada banyak tentangnya yang berlain-lain pada
lain-lain orang", apatah lagi terdapat ketidaksepakatan sesama kamus-kamus
bahasa Melayu yang sedia pada zaman dahulu. Hal inilah yang mendorong beliau
untuk menggubal satu sistem ejaan Jawi yang baru pada tahun 1938.
Nasib tulisan Jawi نصيب توليسن جاوي
Semenjak tulisan Rumi semakin
bertapak di dunia Melayu, tulisan Jawi kini dipelihara terutamanya untuk wacana
keagamaan dan kebudayaan Melayu di negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Kedah,
Perlis dan Johor di Malaysia, Patani di Thailand, dan juga Sulu dan Marawi di
Filipina. Pelbagai usaha dijalankan untuk menghidupkan kembali tulisan Jawi di
Malaysia dan Brunei disebabkan peranannya yang penting dalam lingkungan budaya
Melayu dan Islam, misalnya "Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan"
sebagai ganti ejaan Za'ba yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada
tahun 1986. Tulisan Jawi juga kelihatan di muka belakang wang kertas Ringgit
Malaysia dan dolar Brunei.
"Kita tidak perlu membuang
atau meninggalkan tulisan Jawi walaupun Melayu amnya menggunakan tulisan Rumi.
Ini adalah kerana tulisan Jawi adalah kepunyaan kita dan merupakan sebahagian
daripada warisan kita."
— Perhatian penuh mengenai nasib
tulisan Jawi oleh tokoh bahasa
Melayu Pendeta
Za'ba dalam mukadimah buku Panduan Membaca dan Menulis Jawi (1957)
http://ms.wikipedia.org/wiki/Tulisan_Jawi
Tulisan Khat
Seni kaligrafi Islam atau lebih
sinonim dengan nama ´seni khat´ merupakan khazanah tertua di dunia yang masih
dimiliki oleh umat Islam. Perkembangan Islam yang tersebar ke seluruh pelosok
dunia, menyaksikan kaligrafi Islam teradaptasi dengan perubahan yang berlaku
tanpa menghilangkan ciri dan nilai keIslamannya.
Penulisan Khat yang pertama di
dunia dipercayai dihasilkan di Kufah, Iraq dalam kurun ke tujuh. Fakta yang
tercatat daripada sumber bertulis – seorang sufi mendapat ilham menghasilkannya
melalui mimpi. Tulisan-tulisan yang dihasilkan dinamakan Kufic (Kufi) iaitu
tulisan yang tidak bercantum. Ia digunakan sehingga kurun ke-12.
Pada kurun ke 10 – seni kaligrafi
Islam tersebar ke Parsi dengan gabungan-gabungan huruf yang lebih berseni.
Tulisan kaligrafi Islam ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu khat Kufi,
Khat Nasakh, Khat Diwani, Khat Thuluth, Khat Riqa.
Tulisan kaligrafi dari jenis Nasakh
dijadikan asas dalam mempelajari sistem tulisan Arab di negara berkenaan. Alam
Melayu tidak terkecuali menyerap unsur Nasakh ini sebagai asas pembelajaran
tulisan jawi, yang kemudiannya dipertingkatkan dengan sistem tulisan khat yang
lain.
Khat Kufi dikatakan sebagai khat
yang paling popular didunia. Ia digunakan sebagai tulisan dalam Al-Quran selama
tiga kurun lamanya. Sistem khat Kufi yang tidak mengalami banyak perubahan
semasa menjadi asas ia dikekalkan sebagai tulisan di dalam naskah al-Quran.
Pada kurun ke-16 dan 17 – seni khat
pernah menjadi medium komunikasi terpenting dalam menyampaikan mesej
diplomatik. Ia diperkenalkan oleh Housam Roumi semasa era Suleyman 1 di wilayah
Turki. Kesenian tulisan khat jenis ini terserlah melalui tanda diakritik dengan
tulisan yang menarik. Seni khat yang dikenali dengan nama Diwani ini berkembang
seiring dengan variasinya iaitu Diwani al-Jali yang berbingkai.Antara seni khat
yang masih lagi menjadi tumpuan para peminat seni warisan Islam hingga kini
termasuklah khat Tuluth dan khat Riqa.
Pada awal perkembangan seni khat,
sejenis pokok yang direncongkan hujungnya dan dicelup dengan cecair dakwat,
ditulis pada kepingan kulit-kulit tamar, kulit kambing yang dikeringkan dan
daun-daun papyrus yang dijadikan kertas. Namun begitu, alam Melayu menyaksikan
penggunaan batang-batang pokok resam sebagai alatan utama untuk menulis khat.
Batang resam yang ditiruskan pada bahagian hujungnya akan dicelupkan dengan
dakwat sebelum tulisan khat dilakarkan pada kertas.
Seni Khat yang teradaptasi dengan
dunia moden terus berkembang tetapi masih lagi bertapak pada seni yang asal
iaitu dalam konteks keIslaman (mentauhidkan Allah dan lebih berupa nasihat).
Kini, seni khat bukan sahaja terlakar pada kepingan kertas malahan menjadi
hiasan bercorak islamik apabila ia ditulis pada kepingan cermin, diukir pada
mimbar-mimbar masjid dan turrut dijadikan cenderamata untuk kenangan. Nafas
baru dalam penghasilan seni khat ini secara tidak langsung meningkatkan martabat
seni khat sebagai unsur seni yang cukup tinggi.
Nama-nama besar di alam Melayu
dalam bidang seni khat seperti Profesor Mohd Bukhari Lubis dan Imad, sudah
cukup membuktikan kesenian unggul Islam ini berkesinambungan selamanya. Usaha
Pak Matlob yang giat meneruskan kesinambungan sistem tulisan jawi (asas dalam
seni khat) sesuatu yang amat membanggakan. Seni khat tidak akan berkubur
ditelan arus zaman dengan adanya insan-insan yang mewarisi bakat mempertahankan
kesenian unggul Islam seperti mereka. Sesungguhnya seni kaligrafi Islam adalah
lambang kesenian unggul tamadun Islam yang tiada tandingannya.
Jenis - jenis Tulisan Khat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan